SELAMAT DATANG KE BLOG KAMI ANAK FELDA. DAPATKAN INFO TENTANG ISU-ISU FELDA DAN BERKONGSI PENDAPAT TENTANG APA JUA BERKAITAN DENGAN FELDA

Sunday, July 19, 2009

FELDA KUKUH DI PERSADA DUNIA

"Kami warga FELDA amat kagum dengan usaha-usaha YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib yang amat bersungguh-sungguh dan komited dalam membawa FELDA ke arah “pemain utama global”. Sesungguhnya usaha-usaha di luar kotak pemikiran akan membawa hasil dan merubah nasib dan pemikiran warga FELDA. Dalam program anjuran GEMPITA, Wacana : Perlembagaan dan Sistem Beraja Melayu di Dewan Merdeka, PWTC pada 17-18 Jun 2009, PM telah mengatakan bahawa pihak Kerajaan akan membantu warga FELDA sehingga kiamat.
Tahniah Datuk Sri, teruskan perjuangan, kami sentiasa berdiri teguh di belakangmu..."

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau Felda amat teruja dengan komitmen luar biasa yang ditunjukkan Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak yang mahu melihat organisasi itu kukuh di peringkat nasional dan berkembang di peringkat dunia tanpa mengabaikan kegiatan asas penubuhannya.

Terkini, Felda telah melebarkan sayapnya dalam industri perladangan apabila melancarkan Felda Global Ventures Holdings (Felda Global) yang akan mengembangkan perniagaan di luar negara selain menjadikan tanah rancangan Felda sebagai gedung makanan negara yang mampu mengeluarkan tanaman berskala besar.

Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor berkata pegawai dan kakitangan kumpulan syarikat Felda sudah mula memperkukuhkan personaliti supaya dapat bersaing dengan rakan seperjuangan di negara yang mempunyai potensi seperti Kanada, Amerika Syarikat, India, Timur Tengah dan China.

“Saya fikir ini satu ledakan yang berlaku yang dapat memberi satu suntikan kepada pengurusan dalam kumpulan syarikat…menyuntik semangat kakitangan di sini untuk menjadi pelaku yang kukuh di peringkat nasional dan terkenal di luar negara".

“Saya juga lihat bahawa dalam jiwa dan fikiran Najib, terdapat satu hasrat untuk mengukuhkan apa yang telah diwariskan oleh bapanya (perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein). Saya fikir, ini memang nyata sekali dalam 100 hari memegang urusan sebagai Perdana Menteri,” katanya kepada Bernama.

"Najib sentiasa menekankan tentang pentingnya Felda moden dan sentiasa mengingatkannya supaya membuat pengisian terhadap program Felda moden sebagai sambungan kepada Felda yang lepas" kata Dr Mohd Yusof.

Beliau berkata komitmen yang ditunjukkan Najib untuk merealisasikan hasrat mengembangkan Felda ke luar negara jelas sekali apabila beliau sudi meluangkan masa bertemu dengan rakan kongsi dari luar negara yang datang sempena pelancaran Felda Global Ventures Holding (Felda Global) baru-baru ini.

Katanya, Najib mengamalkan prinsip kerja yang berorientasikan pencapaian di mana sebarang tindakan tidak perlu mengambil masa panjang untuk menampakkan hasil dan sekiranya boleh, disegerakan.

“Inilah cita-cita Najib untuk berpegang kepada konsep Glokal ertinya Felda ini kukuh di peringkat nasional dan berkembang di peringkat dunia. Memang benar-benar dirasai langkah beliau (Najib) itu,” katanya.

Felda telah diasaskan oleh Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, ayahanda Najib pada tahun 1956 bertujuan mengeluarkan orang Melayu daripada zon kemiskinan seterusnya berdikari menggerakkan agensi gergasi itu.

Dengan memiliki 317 tanah rancangan berkeluasan 479,765 hektar dengan bilangan peneroka seramai 112,635 orang di seluruh negara, 43 anak syarikat dan keuntungan berbilion ringgit setahun, Felda kini merupakan agensi pembangunan tanah terbesar di dunia.

Menerajui Felda sejak Julai 2001, Dr Mohd Yusof memberi jaminan lebih daripada 22,000 kakitangan Felda di seluruh negara kini telah bersedia untuk seiring dengan arah tuju perubahan yang dibawa oleh pimpinan baru Perdana Menteri keenam itu.

“Tidak ada siapa yang percaya kejayaan Felda pada masa ia ditubuhkan. Ada kesangsian pada matlamat Felda ini bukan sahaja di kalangan pegawai kerajaan, malah orang awam juga fikir tidak akan berjaya.

“Tapi dengan pengalaman dan arah tuju yang jelas, kesungguhan yang ditunjukkan oleh Tun Razak ketika itu yang menunjukkan keseriusan beliau, serta-merta jentera pentadbiran membuat perubahan terhadap arah tuju pemimpin itu,” katanya.

Secara umumnya, Dr Mohd Yusof yang juga bekas Menteri Perusahaan Awam (1990-1995) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1987-1990) itu berkata Malaysia mempunyai jentera pentadbiran terdiri daripada mereka yang cukup mantap dengan kemahiran dan ilmu pengetahuan dalam bidang tertentu.

“Kalau itu berlaku pada zaman Tun Razak, itulah juga yang akan berlaku apabila PM sekarang mempunyai wawasan yang akan memberi impak kepada masyarakat. Saya fikir dengan formula yang lama iaitu arah tuju yang jelas, asas yang kukuh dalam satu rancangan, seluruh jentera akan membuat perubahan untuk melaksanakannya,” katanya.

Dr Mohd Yusof berkata tiga dasar baru yang diperkenalkan oleh Najib — Gagasan 1Malaysia, penyusunan semula ekuiti bumiputera dan liberalisasi sektor kewangan dan perkhidmatan, memperlihatkan Najib benar-benar ingin melihat perubahan dalam masyarakat pada masa kini.

Melihat kepada dasar-dasar baru yang diperkenalkan dalam tempoh 100 hari berkhidmat sebagai Perdana Menteri, beliau yakin Najib telah meneliti langkah-langkah besar yang akan diambil dan beliau juga pasti akan ada banyak lagi pembaharuan pada masa akan datang demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Ini menggambarkan bahawa terselit dalam hatinya (Najib) perkara-perkara yang besar yang ingin dibuat dan sebelum memegang jawatan Perdana Menteri, tentu beliau sudah menghalusi perkara-perkara berkenaan. Cuma tunggu masa mengambil peluang untuk melaksanakan apa yang tersimpan dalam hati selepas menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Bagaimanapun, bekas anggota Majlis Tertinggi Umno (MT) itu berkata setiap perubahan pastinya menimbulkan reaksi yang berbeza-beza daripada pelbagai pihak sama seperti ketika bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), pusat pentadbiran Putrajaya dan kereta nasional.

“Kalau kita pernah menyaksikan Tun Mahathir melaksanakan perkara yang besar dengan cabaran tetapi berjaya, saya fikir unsur yang sama ada pada Najib…asalkan perkara yang memberi impak yang besar itu dijelaskan dari semasa ke semasa.

“Dalam 100 hari kita telah menyaksikan tiga peristiwa atau dasar besar diperkenalkan, saya fikir tentu banyak lagi dalam hari-hari mendatang,” katanya.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment

KAFELDA mengalu-alukan pandangan, idea dan teguran yang membina untuk tatapan umum.