SELAMAT DATANG KE BLOG KAMI ANAK FELDA. DAPATKAN INFO TENTANG ISU-ISU FELDA DAN BERKONGSI PENDAPAT TENTANG APA JUA BERKAITAN DENGAN FELDA

Thursday, September 03, 2009

TERUS MARTABATKAN FELDA - PM

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semangat dan pengorbanan mereka yang terdahulu membangunkan Felda sehingga ia menjadi tersohor di persada dunia akan terus dipegang dan diikuti.

Menurut Perdana Menteri, walaupun ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak telah meninggal dunia dan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali telah bersara, namun perjuangan untuk memartabatkan Felda akan tetap diteruskan.

Menurut beliau, Felda yang bermula dengan penuh kepayahan di Lurah Bilut, Pahang pada 1956 sehingga berjaya melebarkan sayapnya ke serata dunia dan menjadi konglomerat tersohor adalah kerana semangat juang tinggi pemimpin dan peneraju yang tidak pernah mengenal penat lelah.

“Perjuangan kita belum habis lagi, kejayaan ini bukan penamat walaupun ayahanda saya dan Raja Alias telah meninggal dan bersara tetapi jiwa, roh dan semangat mereka akan tetap menjadi panduan dan pegangan serta ikutan sepanjang masa,” ujarnya.

Najib berkata demikian dalam ucapan sempena pelancaran buku ‘Raja Muhammad Alias The Architect Of Felda’ di Dewan Perdana Felda di sini malam ini. Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor serta Raja Muhammad Alias dan isteri, Puan Sri Hafsah Yusof.

Buku terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu ditulis oleh Dr. Rokiah Talib iaitu karyawan tamu di universiti itu.

Sementara itu, Najib secara berseloroh menyatakan kesyukurannya kerana semua pihak yang terlibat dalam majlis itu berkongsi ‘ayah yang sama’

“Kita berkongsi ayah yang sama, Felda, UKM dan saya sendiri iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak.

“Ayahanda saya adalah pengasas kepada kedua-dua institusi yang amat penting ini, UKM dan Felda,” katanya.

Menyentuh mengenai Raja Muhammad Alias, Perdana Menteri memberitahu, beliau layak dianggap sebagai pemimpin teknokrat ikonik yang telah berjaya membawa Felda ke tempatnya sekarang.

Bagi Najib, Raja Muhammad Alias bukan setakat arkitek tetapi boleh dianggap sebagai kontraktor atau orang yang telah berjaya melakukan pelaksanaan Felda sehingga ke peringkat akar umbi.

Jelas beliau, memang diakui ayahandanya mempunyai wawasan dan komitmen tinggi terhadap Felda tetapi akan menjadi sia-sia jika tidak diterjemahkan sebaik mungkin.
Dalam hal itu jelasnya, Raja Muhammad Alias telah berjaya menterjemahkan wawasan itu menjadi kenyataan.

“Saya secara peribadi amat terharu dan berbangga diberikan peluang melancarkan buku ini kerana hubungan antara ayahanda dan Raja Muhammad Alias amat rapat.

“Saya telah saksikan perkara ini sejak saya kecil lagi, nama Felda amat sinonim dengan Tun Abdul Razak dan Raja Muhammad Alias,” katanya.

No comments:

Post a Comment

KAFELDA mengalu-alukan pandangan, idea dan teguran yang membina untuk tatapan umum.