SELAMAT DATANG KE BLOG KAMI ANAK FELDA. DAPATKAN INFO TENTANG ISU-ISU FELDA DAN BERKONGSI PENDAPAT TENTANG APA JUA BERKAITAN DENGAN FELDA

Saturday, January 05, 2013

Faktor Kegemilangan Islam : Pengajaran Dari Masa Lalu


ABSTRAK

Makalah ini cuba memahami dengan mendalam faktor-faktor kemajuan dan kejatuhan tamadun Islam pada masa lalu untuk mengambil iktibar dan pengajaran daripadanya. Penulis menegaskan bahawa melihat kepada pencapaian-pencapaian pada masa lalu sahaja tidak cukup.

Oleh kerana itu makalah ini meneliti akar-akar peradaban Islam yang dibina semenjak zaman Rasulullah lagi. Penulis memberi tumpuan pada aspek pembangunan insan yang menyeluruh, pemerkasaan identiti dan jati diri umat Islam melalui Tawhid, ketinggian budaya ilmu dan aspek-aspek moral seperti ketinggian akhlak, keadilan dan kebijaksanaan para pemimpin dan semangat kekitaan (‘asabiyyah).
Penulis juga melihat bahawa kerosakan pada akarakar peradaban Islam seperti kekeliruan epistemologi, kerendahan dan ketidakcerdasan pemikiran, hilangnya ‘asabiyyah dan nilai moral yang tinggi,
berleluasanya absolutisme dan kuku besi sebagai punca keruntuhan tamadun Islam.
Semua perkara ini patut menjadi bahan pemikiran dan sumber aspirasi ketika umat Islam berusaha untuk bangkit semula pada abad ke-21 ini.

Kata Kunci: Tamadun Islam, faktor kemajuan, pembangunan insan, budaya ilmu, keadilan.

ABSTRACT
This article is an attempt to analyse the factors behind the rise and fall of Islamic civilisation. The author contends that looking at the achievement of Muslims in the past is inadequate. Hence, the article underlines the civilisational foundations laid down since the Prophet’s era.
It stresses the holistic development of human being, the strengthening of Islamic identity through the concept of Tawhid, the culture of knowledge, and aspects of morality and social solidarity
(‘asabiyyah). The author also relates the decline of Islamic civilization with the corruption in these foundations such as epistemological confusion, the loss of knowledge culture and social solidarity, the loss of adab or morality and the despotic nature of Muslim leadership.
Keywords: Islamic civilization, the rising factors, human development, the culture of knowledge, justice.

ANTARA MADINAH DAN ANDALUSIA

Di atas sebuah pintu gerbang universiti Andalusia tertulis dengan megah: “Dunia ini dibangunkan di atas empat tiang utama: keilmuan para sarjana, keadilan para pemimpin, doa orang-orang Soleh dan keberanian para pahlawan (Hitti 1970).”

Keunggulan tamadun Islam, baik yang berlaku di Andalusia mahupun di sebelah dunia lainnya, bertitik tolak daripada keunggulan Islam. Sehingga seseorang dengan penuh keyakinan dapat mengatakan bahawa tanpa Islam, bangsa Arab, Farsi, Spanyol, Turki dan Melayu, tidak akan pernah mengecapi zaman kegemilangan sebagaimana mereka kecapi setelah mereka menerima Islam.

Walaupun penyataan ini terlihat triumphalist namun hakikatnya ia didukung oleh kenyataan sejarah bagi bangsa-bangsa yang disebutkan di atas. Berdasarkan fakta di atas juga maka sesuatu penyelidikan mengenai keunggulan tamadun Islam di Andalusia tidak sempurna tanpa menyelidiki terlebih dahulu bibit-bibit kecemerlangan yang ditanamkan pada generasi awal Islam.

Analisis yang mendalam terhadap sirah Rasulullah SAW akan membawa seseorang kepada hakikat bahawa pembinaan generasi unggul telah mula dilakukan oleh Rasulullah sejak baginda diutus sebagai Rasul. Malah di tangan bagindalah masyarakat Arab mula melalui proses transformasi sosial dan kebudayaan.


Maka kita dapat katakan kejayaan umat Islam baik di Andalusia mahupun di sebelah dunia lainnya bertunjangkan asas-asas yang telah dibina oleh Rasulullah SAW di Madinah. Andalusia tidak berdiri sendiri di dalam ruang kosong, ia hasil daripada himpunan tradisi kecemerlangan yang akarnya adalah pandangan alam Islam dan tunjangnya adalah Tawhid.

Andalusia hanya salah satu pusat kebudayaan dari banyak lagi pusat kebudayaan yang dibina oleh kerajaan Islam. Andalusia sering diangkat sebagai model terbaik kerana meninggalkan kesan dan warisan yang luar biasa sehingga ke hari ini. Ia juga dianggap besar kerana telah membukakan pintu kemajuan bagi tamadun Barat.

Ringkasnya Andalusia besar kerana dari rahimnya telah lahir tamadun lain yang juga besar, iaitu tamadun Barat. Namun, perlu diingat bahawa banyak lagi daerah lain yang dibangunkan oleh umat Islam. Baghdad dan Kaherah juga merupakan pusat kebudayaan dan keilmuan yang unggul.

Ramai ilmuwan terkenal dan saintis ulung juga dilahirkan dan mengabdi di tempat-tempat lain selain Andalusia, seperti di Baghdad, Damashiq, Kaherah dan sebagainya. Malah boleh dikatakan bahawa Andalusia hanyalah satu mata rantai dari banyak mata rantai lain yang membentuk peradaban Islam.
Sebelum Andalusia, Baghdad adalah pusat peradaban Islam yang melahirkan ramai ilmuwan dan saintis terkemuka. Mata rantai tersebut bermula di Madinah dan berakhir di Acheh atau Demak di Nusantara pada abad ke-16 dan 17. Namun malangnya projek ketamadunan di Nusantara terhenti dengan kehadiran penjajah.


PEMBANGUNAN INSAN SEBELUM PEMBANGUNAN TAMADUN

Terdapat salah faham yang meluas di kalangan umat Islam bahawa agama tidak berkaitan secara langsung dengan pembinaan tamadun. Masyarakat pada umumnya tidak melihat hubungan antara aqidah dengan kemajuan dalam bidang sains dan teknologi.

Sebenarnya tawhid mempunyai peranan yang besar dalam pembangunan manusia. Kita dapat melihat bahawa para rasul diutus untuk melaksanakan misi yang bersifat transformatif dan liberatif. Misi
untuk membebaskan manusia daripada pelbagai belenggu yang mengikatnya dan menahannya daripada kemajuan.

Kita dapat melihat juga bahawa Rasulullah SAW memberi tumpuan yang besar pada pembinaan generasi unggul. Baginda sama sekali tidak menekankan pembangunan infrastruktur. Adalah satu bentuk kebijaksanaan apabila beliau memahami bahawa melalui pembinaan generasi yang unggul, maka generasi ini akan mencipta kecemerlangan demi kecemerlangan dalam pelbagai bidang.

Konsep inilah yang pada hari ini dikenali dengan pembangunan modal insan. Setelah berhasil membina individu unggul, individu ini kemudiannya mempunyai persiapan mental, fizikal dan rohani yang mantap untuk memikul misi pembangunan tamadun Islam.

Pada zaman al-Khulafa al-Rashidun, para Khalifah tidak hanya menumpukan kepada perluasan daerah Dar al-Islam, tetapi juga membina negara / khilafah yang kukuh dan makmur. Untuk merealisasikan hal ini Sayidina Umar telah melaksanakan beberapa agenda penting pembangunan negara.
Bahkan beliau tidak segan-segan mengambil sistem yang datang dari luar seperti Dewan Farsi. Agenda pembangunan beliau ketika itu adalah antara lain (Syed Omar Syed Agil 1998):
(i) reformasi dan pembangunan sistem pentadbiran negara,
(ii) reformasi dan pembangunan dalam sistem ekonomi,
(iii) pembangunan sektor pertanian, (iii) reformasi dan pembangunan sistem politik,
(iv) reformasi dalam ketenteraan, dan
(vi) reformasi dan pembangunan sistem pendidikan.

Banyak bukti yang menunjukkan bahawa pembangunan tamadun didahului dengan pembangunan manusia. Tumpuan diberikan pada bagaimana melahirkan pemimpin yang bukan hanya berkemampuan tetapi juga bertanggungjawab, beramanah dan bertaqwa. Menyedari hal ini, kepada para pegawainya Sayidina Umar berpesan (Ibn Taymiyyah 1988):

“Ingatlah, aku tidak melantik kalian agar kamu menjadi penguasa kuku besi ke atas rakyat. Aku mengutus kalian sebagai pemimpin agar rakyat dapat mencontohi kalian. Berikanlah kepada mereka segala hak mereka…”

Kepada Malik b. Ashtar, Gabenor Mesir, Khalifah Sayidina Ali berpesan (al-Attas & Wan Mohd Nor Wan Daud 2007):

“Ini adalah perintah daripada Ali kepada Malik b. Ashtar ketika dilantik sebagai pemerintah di Mesir, supaya mengumpulkan zakatnya, menjamin kesejahteraan dan menguruskan tanahnya. Dia memerintahkannya supaya takut kepada Allah… engkau harus sentiasa merujuk kepada amalan menghukum dengan adil, tradisi yang mulia, dan contoh daripada Rasulullah saw atau ketetapan daripada al-Qur’an dan ikuti contoh kami bagaimana mengamalkannya… sesungguhnya kita akan kembali kepadaNya….”

Kekuatan dalaman dan luaran yang dibina oleh generasi awal Islam inilah yang membawa mereka kepada mercu kejayaan yang dikecapi oleh generasigenerasi seterusnya. Konsep pembangunan modal insan yang dicanangkan oleh pemikirpemikir Barat tidak dapat diterima oleh Muslim kerana ia bertentangan dengan pandangan alam Islam.

Terdapat kekeliruan yang asas dalam konsep manusia yang dipegang oleh para pemikir Barat. Dalam Islam, manusia tidak hanya dilihat daripada sudut kebendaan dan ekonomi semata– mata tetapi sebagai makhluk Allah yang dianugerahkan roh dan akal. Makhluk ini juga bertanggungjawab kepada Allah sebagai Pemilik, Penguasa dan Pentadbir sebenar.

Pembangunan insan yang seutuhnya meliputi pembangunan fizikal, rohani dan intelektual. Pembangunan insan yang menyeluruh ini tidak menekankan kebendaan sehingga tercipta manusia yang maju dari segi kebendaan tetapi rosak dari segi rohani atau pemikiran. Ini kerana pada hakikatnya manusia rosak seperti ini tidak akan memberi sumbangan yang baik kepada negara dan bangsa.

Konsep ‘Umran Bashari (pembangunan manusia) seperti yang diutarakan oleh Ibn Khaldun (2004) menekankan pembangunan yang menyeluruh sehingga menghasilkan manusia yang seimbang. Ibn Khaldun juga membezakan antara pembangunan yang berdasarkan akal semata-mata dengan pembangunan yang berdasarkan agama.

Pembangunan yang berdasarkan akal sahaja katanya hanya membawa kepada manfaat di dunia sahaja tetapi pembangunan yang berdasarkan agama, manfaatnya bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Baginya politik dan pemerintahan yang bersandarkan pada petunjuk agama adalah yang terbaik.

KERAJAAN YANG BIJAKSANA:
UNSUR TERPENTING DALAM KEJAYAAN SEBUAH TAMADUN

Tidak seperti yang selalu digambarkan, pemerintahan Islam tidak selamanya penuh dengan perebutan kuasa dan pertumpahan darah. Terdapat masa di mana kekuasaan bersifat kuku besi berleluasa dan ada masanya pemerintahan sultan yang adil dan bijaksana berlaku untuk sekian lama.

Pembangunan ilmu adalah langkah pertama yang dilakukan oleh sultan Andalus. Sultan pertama, Abd al-Rahman b. Mu’awiyah al-Dakhil yang merasa cukup dengan gelaran Amir (pemimpin) Andalus, memerintahkan rakyatnya membina masjid pada tahun 786 H. Masjid itu dikenali dengan masjid Kordoba.
Setelah pembinaan masjid sultan, seterusnya membina perpustakaan yang besar dengan hartanya sendiri. Seperti dicatat oleh seorang sejarawan Barat, Stanley Lane-Poole (1967), bahawa al-Hakam memiliki lebih 400,000 buah buku.

Pada zaman itu belum wujud percetakan seperti hari ini. Semua koleksi tersebut hasil tulisan tangan. Jika dia tidak dapat membeli yang asli dia memerintahkan orang untuk menyalinnya. Kesemua koleksi buku tersebut dikatakan telah dibaca oleh sultan. Sehingga al-Hakam II dikenal sebagai kutu buku.

Al-Hakam juga dikatakan sultan pertama yang membina universiti di Andalusia. Bahkan beliau juga menjadi penaung yang membiayai kegiatan ramai sarjana dan saintis Andalusia. Hasil kebijaksanaan para pemimpinnya, sewaktu kegemilangan kota Kordoba memiliki 600 buah masjid, 900 tempat mandi awam, 50 hospital, dan beberapa pasar tempat perniagaan dan perdagangan.

Seseorang boleh berjalan di waktu malam sejauh puluhan batu kerana lampulampu dinyalakan untuk menerangi jalan. Hanya 700 tahun kemudian hal ini terjadi sebagai inovasi besar di London dan Paris (Thomson & Muhammad Ata’ ur-Rahman 2004).

Kebijaksanaan sultan-sultan Andalusia amat nyata. Seorang lagi sultan Andalusia, Abd al-Rahman III, digambarkan sebagai berikut (Gayangos 1843):

“…penguasa yang lemah lembut dan paling berpengetahuan. Kelemahlembutannya, kemurahan hatinya, dan kecintaannya akan keadilan telah menjadi buah mulut di mana-mana; tidak seorang pun dari anak cucunya pernah melampaui dia dalam hal keberanian di medan tempur dan keunggulan lainnya yang menjadikan dia sebagai seorang penguasa yang cekap dan dicintai; ia mencintai ilmu dan disegani oleh orang terpelajar.
Dengan orang-orang inilah ia gemar melakukan pembicaraan, menghabiskan masa yang ia curi daripada pekerjaan pentadbiran. Di istananya ia mengadakan pertemuan sastera yang dihadiri oleh semua penyair terkemuka dan orang-orang terpelajar.”

Mengenai kejayaan pembangunan di Andalusia, Lane Poole mengatakan (Thomson & Muhammad Ata’ ur-Rahman 2004):

“Kordoba memiliki semua keindahan dan perhiasan yang memanjakan mata serta menyilaukan pandangan. Deretan panjang Sultan-sultannya membentuk mahkota keagungannya; kalungnya adalah untaian mutiara yang dikumpulkan para penyairnya dari lautan bahasa; gaunnya adalah pengetahuan yang gilang-gemilang, dirajut kemas oleh para lelaki dan perempuan terpelajar; dan pakar semua cabang seni dan
industri adalah baju kebanggaannya”.

Kebijaksanaan seseorang pemimpin terpancar apabila ia dapat membawa masyarakat yang dipimpinnya ke arah kecemerlangan dan kejayaan yang hakiki. Daripada sudut pandangan Islam, kejayaan hakiki sudah tentu mengambil kira kesejahteraan aqli, jasadi dan rohani. Dalam al-Muqaddimah, Ibn Khaldun (2004) mencatat surat yang ditulis oleh Tahir bin al-Husayn (m. 844) untuk anaknya, Abdullah b. Tahir, yang dilantik oleh khalifah al-Ma’mun (m. 833) untuk menjadi gabenor di al-Raqqah dan Mesir dan daerah antara keduanya.

Isi surat nasihat ini sampai kepada pengetahun al-Ma’mun. Setelah membaca kandungan surat tersebut al-Ma’mun memerintahkan agar surat tersebut disebarluaskan kepada semua pegawai kerajaan untuk menjadi panduan mereka dalam bekerja. Di bawah ini beberapa perkara penting yang ditekankan dalam surat tersebut:

a. Menjaga ibadah harian;
b. Mempelajari agama, mendekati ahli agama;
c. Bersikap sederhana dalam setiap perkara, tidak berlebihan dalam hal keduniaan;
d. Bersangka baik dengan orang lain dan berhati-hati dalam membuat tuduhan;
e. Mengikuti perintah agama dan melaksanakan hudud;
f. Mendekati orang soleh dan menjauhi orang yang buruk akhlaknya;
g. Melabur harta negara untuk kepentingan dan kemudahan rakyat;
h. Selalu mendengar pandangan fuqaha, pakar dan ilmuwan. Tidak mendengar pandangan orang-orang yang mementingkan keduniaan;
i. Tidak bersikap bakhil khususnya kepada orang bawahan;
j. Bersikap adil kepada semua orang termasuk kepada musuh, tidak pilih kasih atau mementingkan golongan tertentu (nepotisme, kronisme);
k. Menjaga kebajikan orang bawahan;
l. Menghormati orang-orang besar dan berpengaruh dalam masyarakat;
m. Melantik orang yang akan melaporkan segala tindak tanduk dan prestasi para pekerja;
n. Berlembut dan beramah mesra dengan rakyat;
o. Mendekati para ulama. Menghormati orang yang tidak takut akan kebesaranmu untuk memberi nasihat yang jujur kepadamu;
p. Jangan mengungkit pemberianmu kepada rakyat.

Tradisi kepimpinan yang bijaksana inilah yang telah ditanamkan pada generasi kehebatan tamadun Islam. Al-Mawardi (975-1059) dalam bukunya al-Ahkam al-Sultaniyyah menggariskan 6 sendi utama yang mesti wujud dalam sebuah pemerintahan Islam:

1. Penghayatan agama yang mendalam;
2. Penguasa yang berwibawa;
3. Keadilan yang menyeluruh;
4. Keamanan yang merata. Di sini al-Mawardi menyadari bahwa konflik yang berpanjangan akan menjadi penghalang kepada kemajuan yang berterusan;
5. Kesuburan Tanah yang berkesinambungan;
6. Harapan Kelangsungan Hidup (Munawir Sjadzali 1993).

KETINGGIAN BUDAYA ILMU

Umat Islam di Andalusia merupakan contoh kepada masyarakat Eropah dalam segala hal. Umat Islam mencipta budaya tinggi (high culture). Umat Islam menjunjung tinggi nilai-nilai yang membolehkan mereka memimpin masyarakat Dunia.

Mereka adalah simbol ketertiban, kesopanan, kebersihan, kebijaksanaan, ketamadunan, persamaan, dan kemajuan. Mereka adalah contoh masyarakat yang memiliki budaya yang tinggi. Budaya ilmu adalah budaya yang diwarnai oleh kebijaksanaan dalam berfikir dan bertindak. Sesiapa sahaja, baik raja, pemimpin, atau rakyat kecil, akan berfikir dan bertindak dengan betul dan bijaksana, tidak mengikuti emosi, marah, atau angkuh.

Terdapat beberapa ciri khas bagi masyarakat yang cerdas dan memiliki budaya ilmu:

1. Peranan besar ilmuwan dalam mencerdaskan dan mencerahkan masyarakat. Mereka tidak terpisah daripada masyarakat tetapi berfungsi sebagai agen perubahan dan pencerahan. Ilmuwan dalam Islam, seperti ditegaskan oleh Siddiq Fadzil (2006), mempunyai misi tahriri-tanwiri-taghyiri. Ilmuwan dalam sistem pendidikan yang mengutamakan keuntungan seringkali menjadi alat dan bukan agen perubahan dan pencerahan. Masyarakat tidak menghormati dan merujuk kepada ilmuwan sebaliknya banyak dipengaruhi oleh para penghibur, kapitalis, penguasa absolutis dan akibatnya masyarakat menjadi tidak cerdas dan tidak berbudaya ilmu.

2. Penghormatan terhadap autoriti. Kepakaran dan autoriti adalah penting untuk memastikan keputusan dilakukan berdasarkan ilmu dan kebijaksanaan dan bukan mengikut hawa nafsu dan emosi (Wan Mohd
Nor Wan Daud 1997). Kerosakan akan timbul apabila yang menjadi rujukan dalam memahami Islam adalah orang-orang yang jahil. Banyak kesilapan dan malapetaka berlaku yang berpunca daripada keputusan diambil oleh pemimpin dengan membelakangi para pakar dalam bidangnya. Hal ini jelas apabila diselidiki punca kekalahan umat Islam di Barcelona di zaman Andalusia.

3. Segala persoalan dibahas dengan bijaksana dan dewasa. Sikap absolutis, autoritarian dan kuku besi tidak melambangkan kebijaksanaan dan kedewasaan. Dalam peradaban Islam yang asal, ilmu yang berkuasa dan bukan kuasa politik. Setelah prinsip musyawarah diketepikan, ilmu tidak menjadi ukuran, ulama ditindas maka perpecahan mula berlaku dan masyarakat hidup dalam kegelapan (Wan Mohd Nor Wan Daud 1997).

4. Pengangkatan seseorang pemimpin berdasar ilmu, kemampuan dan akhlak. Ketiga-tiga perkara ini telah menjadi kriteria pemilihan pemimpin pada zaman Rasulullah s.a.w dan al-Khulafa al-Rashidun.
Sebaliknya apabila pengangkatan dilakukan berdasar keturunan, wang dan kuasa maka ia mencerminkan bahawa masyarakat yang bertangggungjawab adalah masyarakat yang tidak cerdas dan tidak
berbudaya ilmu.

5. Masyarakat yang cerdas dan berbudaya ilmu adalah masyarakat yang terbuka fikirannya dan maju cara berfikirnya. Mereka menerima sesuatu pandangan berdasarkan kekuatan hujah dan ilmu. Masyarakat yang tidak cerdas adalah masyarakat yang jumud dan sempit cara berfikirnya. Mereka menerima sesuatu pandangan berdasarkan kejahilan, ketaksuban dan kefanatikan.

6. Masyarakat yang cerdas dan berbudaya ilmu adalah masyarakat yang mempunyai sahsiah dan jati diri yang mantap. Mereka berpegang pada prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang berdasarkan pandangan alam dan agama yang tersendiri. Mereka tidak berkiblat ke Barat mahupun ke Timur. Kerananya mereka tidak menjadi seperti buih yang mudah dipukul ombak. Untuk melakukan sesuatu dengan tepat, betul dan bijaksana, seseorang perlu terlebih dulu mengerti tempat bagi segala sesuatu (adil). Orang yang keliru tidak akan dapat melakukan perkara dengan betul dan bijaksana. Pada hari ini kita sering melihat orang besar diperkecilkan dan orang kecil diperbesarkan. Orang yang tidak layak, diangkat menjadi pemimpin dalam bidang-bidang yang penting dalam menentukan nasib umat. Maka dari itu sangat penting bagi kita mengenal dan mengangkat orang-orang yang benar-benar berilmu. Dan membezakannya dengan orang-orang yang hanya mengumpul maklumat dan memiliki ijazah. Ini penting kerana menurut Wan Mohd Nor Wan Daud (2007):

“Guru-guru yang tidak berwibawa sebaliknya akan membazirkan banyak waktu, tenaga dan harta membesarkan isu-isu dan tokoh-tokoh kecil, dan mengecilkan isu-isu dan tokoh-tokoh yang sebenarnya besar; merongkaikan dasar-dasar yang telah kukuh disepakati ilmuwan muktabar sekian lama; menggunakan slogan-slogan popular tanpa huraian bermakna. Ilmu akan rosak. Ilmuwan sebenar akan disisihkan. Selain itu, guru-guru yang kurang wibawa akan cenderung berpegang kepada ide-ide, dasar-dasar dan amalan yang selalu berubahrubah, menolak sesuatu idea, dasar dan amalan dengan keras yang kemudiannya akan dipeluknya dengan melampau”.

Keunggulan Tradisi Keilmuan Islam tercermin apabila para sultan begitu dekat dengan ulama. Sultan Abu Yusuf Yaqub (1160-1199) meminta Ibn Rushd untuk menulis tentang falsafah Aristotle supaya dapat difahami dengan baik, mana yang bermanfaat dan mana yang tidak. Atas sokongan yang diberikan olehnyalah Ibn Rushd berhasil menjadi ilmuwan yang terbilang. Ibn Khaldun juga mempersembahkan karya monumentalnya al-Ibar sebanyak tujuh jilid kepada Sultan Zahir Barquq di Mesir dan Sultan Abu Faris di Fez. Mengetahui kehebatan Ibn Khaldun, sultan mengangkatnya menjadi Hakim besar Mesir.

Jelas terdapat kepedulian yang tinggi di kalangan para sultan terhadap ilmu dan ilmuwan. Tradisi keilmuan seperti inilah yang menjadikan budaya ilmu semakin subur. Kerana adanya galakan dan sokongan para penguasa, para ilmuwan bersemangat dan didorong untuk menguasai pelbagai bidang keilmuan.

Setiap jerih payah mereka terasa dihargai dan berguna kepada masyarakat dan negara. Kehebatan sultan tidak menjadikan para ilmuwan kerdil. Ulama juga tidak mudah merendahkan martabat mereka demi meraih keuntungan duniawi. Mereka merasa berhak menegur dan memberikan kritikan terhadap pemerintah. Para khalifah pun menghargai dan menghormati teguran tersebut.

Khalifah Abdul Rahman III pernah ditegur kerana tertinggal solat Jumaat oleh seorang Qadi bernama Munzir al-Balluti. Ketika ditanya oleh puteranya sama ada beliau mahu memecat Qadi tersebut Sultan menjawab: 

“Aku lebih rela memutus hubungan denganmu, tapi aku tidak akan memecat Qadi ini yang merupakan satu nikmat Allah SWT kepada kita semua.
Aku akan solat Jumaat di belakangnya selagi dia masih hidup” (Wan Mohd Nor Wan Daud 2007).

Para Ulama berperanan sebagai penasihat yang baik dan pemerhati yang bijak atau kini dalam sistem demokrasi dikenali dengan istilah check and balances.
Abu Yusuf menulis kitab al-Kharaj yang didalamnya terkandung juga nasihat-nasihat kepada penguasa, Al-Mawardi menulis Nasihat al-Muluk, al-Ghazali menulis al-Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Muluk, di Alam Melayu kita ada Raja Ali Haji yang menulis Thamarat al-Mahammah Diyafatun li alKubara wa Ahl al-Mahkamah. Ulama-ulama besar ini tidak sesekali berfungsi sebagai alat untuk menjustifikasikan kuasa kuku besi khalifah atau sultan mereka.

PEMERINTAHAN YANG ADIL: 
RAHSIA PENTING KEGEMILANGAN ANDALUSIA

Amat jelas bahawa Andalusia membangun dengan pesat kerana raja-rajanya memerintah dengan adil. Perlu kita fahami bahawa keadilan bukan hanya satu konsep yang berkaitan dengan pemerintahan dan politik sahaja. Sebelum ia menjadi konsep politik ia adalah konsep yang bersifat kerohanian dan metafizik.
Pendek kata, seseorang yang tidak bersikap adil kepada Tuhannya tidak akan bersikap adil kepada rakyatnya. Seseorang yang tidak tahu bagaimana menempatkan ilmu dan kejahilan tidak akan dapat membangunkan negara.

Ketika al-Hakam I (796) menaiki takhta untuk menggantikan ayahnya Hisham, ayahnya berpesan (Scott 1904):
“Hendaklah kamu berlaku adil kepada semua tanpa mengira miskin atau kaya, berbuat baik dan berlemah lembut kepada orang yang bergantung kepadamu kerana semuanya samasama ciptaan Allah.
Amanahkan penjagaan kota-kota dan daerah-daerahmu kepada ketua yang setia dan berpengalaman; kenakan hukuman tanpa belas kasihan menteri-menteri yang menindas rakyatmu; uruskan tenteramu dengan sederhana dan tegas; ingatlah bahawa senjata diberikan kepada mereka untuk mempertahankan diri bukan untuk menghancurkan negara mereka; dan ingatlah bahawa mereka dibayar secara berterusan kerana mereka diharap terus menunaikan tanggungjawab mereka; berusahalah untuk mendapatkan kecintaan rakyat terhadapmu, kerana dengan kecintaan mereka akan aman negara ini, dengan ketakutan mereka akan bahaya negeri ini, dengan kebencian mereka akan rosak negeri ini.
Lindungilah tanah dan gandum yang sentiasa menjadi sumber kekuatanmu; jangan biarkan hasil tuaian mereka musnah, atau hutan mereka dirusakkan; berbuatlah apa sahaja agar rakyatmu merestuimu dan mereka dapat hidup di bawah lindunganmu, dan hanya dengan demikian engkau akan menjadi sultan yang paling disanjung.”

Namun malangnya al-Hakam I tidak mengikuti pesan ayahnya. Al-Hakam I justeru menjadi pemerintah yang zalim dan tidak peduli bahkan kejam terhadap rakyat. Dia sultan pertama yang dikelilingi oleh 6 ribu pengawal peribadi. Beliau menghukum rakyatnya dengan kejam walaupun atas kesalahan yang kecil. Pada zamannya berlaku beberapa pemberontakan.

Dia bertanggungjawab melakukan pembunuhan terhadap pembesar-pembesar Toledo, satu peristiwa yang dinamakan “Day of the Ditch”. Pada zaman dialah Barcelona jatuh ke tangan Kristian dan ia adalah kemenangan besar pertama yang diperolehi oleh Kristian dan memberi mereka semangat baru menyerang umat Islam (Abd alWahid al-Marakeshi 1968).

Kerajaan yang zalim seperti ditulis oleh Ibn Khaldun (2004) akan merusakkan pembangunan negara. Penguasa Abd al-Rahman I walaupun bermusuhan dengan khalifah Abbasiah tidak mendakwa dirinya khalifah tetapi beliau merasa cukup dengan gelaran Amir. Beliau menumpukan kepada pembangunan Negara dan mengukuhkan kekuatan ketenteraan. Gelaran khalifah hanya digunakan oleh raja dinasti Umawiyyah ke-8, Abd al-Rahman III.

Namun zaman kegemilangan bagi pemerintahan dinasti Umawiyyah di Andalusia juga bertahan sehingga Abd al-Rahman III (912-961). Menarik untuk dicatat bahawa kehadiran umat Islam di Andalus bukan satu bentuk agresi tetapi atas permintaan pemerintah bahagian Ceuta ketika itu yang bernama Julian (dalam bahasa Arab Alyan) untuk membalas dendam terhadap Raja Roderic yang telah melakukan kekejaman dan penindasan di Andalusia (al-Baladhuri 1959).

Setelah pemerintahan dinasti Umawiyyah, Andalusia mula berada di ambang kejatuhan. Di samping serangan bertubi-tubi dilakukan oleh Kristian untuk melakukan penaklukan semula (reconquest), perpecahan dalam tubuh umat Islam mula berlaku. Sultan terakhir dinasti Umawiyyah adalah Hisham III b. Muhammad (1027-1036). Hanya pada zaman al-Muwahhidun Andalusia kembali bersinar khususnya dibawah pimpinan Yusuf Abu Ya’qub (1163-1184).

Dinasti al-Muwahhidun, begitu juga sebelumnya al-Murabitun, berhasil menyekat kemaraan kuasa Kristian dan mempertahankan Andalusia dari dirampas. Tetapi pemerintahan dinasti al-Muwahhidun hanya bertahan 139 tahun. Kekalahan getir al-Muwahhidun berlaku dalam perang Las Navas de Tolosa pada 1212 yang berpunca dari keengganan sultan mendengar nasihat para panglimanya yang berpengalaman. Kekalahan ini menyebabkan 70,000 orang Islam disembelih atas arahan paderi Toledo (Zaimeche 2004).

Setelah sultan terakhir al-Muwahhidun, sultan Muhammad al-Nasir meninggal, Andalusia berada dalam gerbang kehancuran. Khalifah terakhir, Abu Abdullah terpaksa menyerahkan Granada, benteng pertahanan terakhir, ke tangan Ferdinand pada tahun 1492 kerana telah 7 bulan dikepung dan khalifah bimbang akan ramai rakyatnya yang mati kebuluran (Thomson & Muhammad Ata’ ur-Rahman 2004).

Pada saat meninggalkan Granada khalifah melinangkan air mata, Ibunya lalu berkata kepadanya: “Jangan menangis seperti seorang perempuan untuk sesuatu yang tidak dapat kau pertahankan seperti seorang lelaki”. Nasib Andalusia setelah ketiadaan pemerintahan Islam amat menyedihkan. Bangsa pendatang yang disebut Mooris dihukum bunuh dan diusir secara besarbesaran, hanya kerana mereka orang Islam. Mereka yang ingin kekal berada di Spanyol mesti bertukar agama.

Bukan hanya umat Islam yang ditindas, umat Kristian yang beraliran Unitarian juga dipaksa bertukar kepada Trinitarian, begitu juga kaum Yahudi. Inquisisi dilaksanakan dengan amat kejam, seseorang yang tidak mengamalkan ajaran Trinitarian akan diadili, digantung dan dibakar, sehingga masyarakat Spanyol berada dalam kegelapan kembali setelah berada dalam kemuncak ketamadunan (Thomson & Muhammad Ata’ ur-Rahman 2004).

Hanya pada 1813 inquisisi dinyatakan sebagai bertentangan dengan perlembagaan dan dihapuskan pada 1834. Inquisisi ini jugalah, menurut Ahmad Thomson, yang menimbulkan kebencian masyarakat Eropah kepada agama dan melahirkan semangat ilmiah moden yang anti Tuhan.  Keadilan tercermin dalam polisi kerajaan Islam. Antara sikap adil seorang penguasa yang paling penting adalah meletakkan seseorang pada tempatnya yang sesuai. Seorang penguasa yang adil tidak akan melantik seseorang yang tidak layak sedangkan ada orang yang lebih layak walaupun ia adalah saudaranya atau kaum kerabatnya.

Zaman kegemilangan tamadun Islam ditandai dengan zaman umara (pemerintah) menghormati ulama (ilmuwan). Sebaliknya zaman kejatuhan juga ditandai dengan kerakusan umara sehingga sanggup memperalat ulama. Ibn Khaldun (1332-1406) hidup di era kejatuhan tamadun Islam di Afrika Utara dan Andalusia.
Beliau telah menyaksikan bagaimana kerajaan-kerajaan yang gagah perkasa tumbang satu persatu. Walaupun beliau telah dilantik menjadi perdana menteri dan orang besar ketika beliau berada di Andalusia dan Tunisia.

Namun beliau sering juga diperalat oleh umara untuk kepentingan kekuasaan mereka. Hal ini sering berlaku pada masa itu kerana pada zaman itu telah berlaku perpecahan politik dan perebutan kekuasaan yang amat dahsyat sehingga pemerintah cuba melakukan apa sahaja untuk memastikan kuasa berada ditangan mereka.
Penghargaan terhadap ulama yang pada awal Islam benar-benar jujur dan ikhlas bertukar menjadi pemanfatan para pemimpin (umara) terhadap kaum ilmuwan (ulama). Ibn Khaldun menyedari hal ini dan menolak beberapa kali untuk diperalat walaupun ditawarkan jawatan yang tinggi tetapi tindakannya itu justeru mengundang kemurkaan sultan.

Adalah sesuatu yang malang apabila Ibn Khaldun diburu oleh sultan Abu Abbas di Tunisia kerana enggan menyertai kerajaan dan keluarganya dikenakan tahanan rumah. Ibn Khaldun terpaksa melarikan diri ke Mesir dan hanya setelah Ibn Khaldun menjadi Kadi Besar di Mesir, maka keluarganya diizinkan menyertainya akan tetapi malangnya keluarganya karam dalam pelayaran ke Iskandariyyah, Mesir.
Adalah penting untuk kita lihat bahawa bibit-bibit zaman kejatuhan terpampang jelas apabila ulama dijadikan alat oleh penguasa untuk kepentingan politiknya. Pertikaian dalaman dan perpecahan mula berlaku setelah kekuasaan tidak lagi berada di tangan khalifah yang kuat. Kerajaan-kerajaan kecil, yang dinamakan dengan muluk al-tawaif atau taifa de reyes, terlalu lemah untuk melawan reconquesta Kristian.

Mereka hanya mampu meminta belas kasihan Alfonso dengan membayar ufti yang justeru akan terus memperkuat kerajaan Kristian. Permusuhan antara sesama umat Islam, menurut De Gayangos (1843)
dan dirujuk oleh Thomson (2004), berlaku hanya kerana perbezaan aliran dan golongan:

“terpecah belah satu sama lain, kaum Muslimin mulai mengukur diri mereka sebagai anggota dari bangsa-bangsa yang berbeza, dan semakin hari semakin sukar bagi mereka untuk bersatu padu dalam kepentingan bersama; dan sebab perpecahan di kalangan mereka ini, serta rasa saling bermusuhan di antara mereka, seiring dengan kepentingan kotor dan ambisi berlebih-lebihan dari beberapa orang raja mereka, orang-orang Kristian mampu menyerang kaum Muslimin secara total dan menundukkan mereka satu demi satu”.

Sikap adil dijelmakan termasuk terhadap orang bukan Islam. Andalusia adalah contoh bagaimana toleransi beragama telah dilaksanakan oleh umat Islam jauh sebelum konsep itu yang kini kononnya diperjuangkan oleh Barat. Ramai sejarawan, termasuk Gibbon, mengakui bahawa pada zaman Andalusia diperintah oleh orang Islam, orang-orang Kristian dan Yahudi hidup dalam kedamaian dan keamanan (Thomson & Muhammad Ata’ ur-Rahman 2004).

Tetapi toleransi beragama yang dicontohkan oleh umat Islam ini tidak dihargai baik oleh orang-orang Yahudi mahupun Kristian. Proses kristenisasi secara paksa berlaku secara besar-besaran setelah Andalusia ditakluki Ferdinand III. Masjid Kordoba yang indah dan megah yang dibina oleh Abd al-Rahman alDakhil pada 788 ditukar menjadi gereja pada 1236 (Hitti 1970).

Toleransi hancur setelah Andalus berada di tangan orang-orang Kristian. Sejarah mencatat bahawa pada abad ke-13 sahaja 3 juta orang Islam dan 2 juta orang Yahudi diusir dari Spanyol (Thomson & Muhammad Ata’ ur-Rahman 2004). Seramai 40 ribu orang Yahudi menerima converso. Bukan hanya kedamaian beragama hilang dari bumi Spanyol, cahaya ketamadunan dan keilmuan juga hilang dari bumi Andalusia.

KESIMPULAN

Sesungguhnya sangat penting bagi kita mengkaji faktor-faktor kemajuan dan kejatuhan tamadun Islam di masa lalu untuk mengambil iktibar dan pengajaran daripadanya. Adalah suatu kebodohan jika kesilapan-kesilapan masa lalu itu kita ulangi pada masa ini. Ketika mengupas tentang iklim kehidupan intelektual di Andalusia, Wan Mohd Nor (2007) menulis:

“Ramai di antara kita sentiasa berbangga dengan pencapaian agung umat Islam terdahulu, sama ada di Andalusia atau di tempat-tempat lain, tetapi tidak begitu ramai yang mahu meninjau secara ilmiah akan iklim dan faktor-faktor yang memungkinkan terlahirnya hasil yang sedemikian agung. Jika kita ingin membangunkan sebuah masyarakat, bangsa dan tamadun yang agung, kita harus jugalah cuba memahami iklim dan mengenal pasti faktor-faktor tersebut, dan berusaha mencipta sebaik mungkin, iklim dan faktor-faktor yang serupa, setelah mengambil kira perbezaan tempat dan zaman”.

Tumpuan perlu diberikan kepada proses pembudayaan ilmu dan bukan hasilnya. Cabaran untuk melahirkan masyarakat yang berilmu dan maju tidak cukup dengan slogan dan retorika sahaja. Berikut adalah langkah praktikal untuk dilaksanakan pada hari ini:

1. Mewujudkan persekitaran yang kondusif. Untuk membangun tradisi keilmuan yang unggul, perlu diwujudkan dan dimantapkan sarana yang dapat menyokong tujuan tersebut. Ini termasuklah iltizam institusi kerajaan dan kepimpinan tertinggi untuk merujuk dan menghormati pandangan ilmuwan dan para pakar dalam bidang masing-masing; wujudnya kebebasan untuk kaum ilmuwan melontarkan pandangan di ruang awam; pembangunan perpustakaan umum yang dapat memudahkan akses masyarakat terhadap ilmu; merancakkan aktiviti-aktiviti ilmiah; seperti wacana, seminar, bengkel, dan sebagainya.

Apa yang penting adalah usaha murni yang bersepadu dan berterusan ke arah pembudayaan ilmu. Ini termasuklah pengurangan sarana-sarana yang dapat menyuburkan budaya hiburan atau hedonisme. Tanpa usaha mengekang hedonisme maka usaha menyuburkan minat kepada ilmu akan terhambat kerana kuatnya daya tarikan ke arah hedonisme tersebut.

2. Penghormatan dan apresiasi yang murni terhadap para ilmuwan. Universiti-universiti perlu memberikan penghargaan yang tinggi kepada para ilmuwan berdasarkan kepada pencapaian mereka yang benar-benar besar. Sampai saat ini, di banyak negara-negara umat Islam, ilmuwan tidak diberikan penghormatan yang sewajarnya.

Hal ini akan menjejaskan penghormatan masyarakat kepada ilmuwan dan juga menghambat perkembangan prestasi ilmuwan. Tidak sedikit ilmuwan Muslim yang memilih berhijrah ke negara-negara Barat kerana di sana mereka lebih dihargai walaupun oleh orang bukan Islam.

Penghargaan tidak seharusnya berdasarkan kepada kuantiti atau populariti karya mereka tetapi kepada kepentingan dan keperluan hasil karya mereka. Anugerah nobel contohnya diberikan bukan berdasarkan kepada populariti mahupun kuantiti tetapi kepada sumbangannya kepada idealisme-idealisme masyarakat Eropah.

Sudah tentu keutamaan bagi masyarakat Islam berlainan dengan masyarakat Barat hari ini yang telah maju. Maka anugerah perlu diberikan kepada karya-karya besar yang menyumbang ke arah pemerkasaan bangsa Melayu dan umat Islam umumnya.

3. Menghidupkan budaya ilmu. Adalah tanggungjawab para pemimpin juga untuk menghidupkan budaya ilmu. Berbeza dengan budaya hiburan, pop dan budaya konsumerisme, budaya ilmu adalah budaya yang tinggi.

Ia hanya dimiliki oleh masyarakat yang telah mempunyai jiwa dan minda yang merdeka. Oleh itu kebebasan intelektual adalah unsur yang sangat penting. Justeru pemimpin umat Islam tidak perlu
gusar dan marah jika dikritik dan ditegur oleh para ilmuwan kerana apa yang mereka lakukan sebenarnya adalah untuk kebaikan masyarakat bersama.

Ia tidak sama sekali bertujuan untuk menjatuhkan pemimpin yang sedia ada. Para pemimpin perlu faham bahawa para ilmuwan mempunyai tanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan, kerana jika tidak merekalah yang akan dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan kelak.

4. Membangun masyarakat yang bermoral. Tujuan pendidikan, seperti yang dijelaskan oleh al-Attas, adalah menciptakan generasi yang beradab (al-Attas 1991; Wan Mohd Nor Wan Daud 1998). Nilai moral
yang tinggi juga yang akan menghalang tamadun itu dari kejatuhan.

Sungguh malang apabila cita-cita kebangkitan hanya berujung dengan kejatuhan demi kejatuhan. Belum lagi umat Islam bangkit sudah dihadapkan dengan keruntuhan akhlak, kemunduran akademik, dan
kejatuhan ekonomi. Jika pada hari ini kita melihat bahawa ramai masyarakat yang terdidik ternyata tidak memiliki nilai moral yang tinggi, maka ini bermakna terdapat kekeliruan dalam falsafah dan
pelaksanaan sistem pendidikan yang dilaksanakan selama ini.

Untuk memahami jatuh bangkitnya sesuatu tamadun tidak cukup hanya dengan melihat kepada pencapaian-pencapaian masa lalu. Kita perlu mengerti bahawa sesuatu pohon yang rimbun dan kukuh semestinya memiliki akar yang kuat (asluha thabitun wa far’uha fi al-sama’).
Akar peradaban Islam adalah tawhid, ketinggian budaya ilmu, peranan ilmuwan sebagai pencerah dan pendidik, akhlak dan nilai moral yang tinggi.

Kerosakan pada akar-akar ini, seperti kekeliruan epistemologi, kerendahan dan ketidakcerdasan pemikiran, hilangnya semangat kekitaan (asabiyyah) dan nilai moral yang tinggi, berleluasanya absolutisme dan kuku besi adalah punca kejatuhan tamadun Islam. Perkara-perkara yang saya telah sebutkan sebagai musuh-musuh peradaban yang sejak mula menjadi musuh Islam (Khalif Muammar 2007).

Kita memiliki legasi dan model kemajuan yang indah dan gemerlapan di masa lalu. Apa yang perlu ada pada kita hanyalah kesungguhan dan keikhlasan, bukan hanya semangat, retorika, dan slogan-slogan kosong. Yang jelas nasib umat Islam pada masa hadapan ditentukan oleh apa yang kita lakukan pada hari ini. Mungkinkah masa depan untuk Islam?

RUJUKAN

Abd al-Wahid al-Marrakeshi. 1968. The History of the al-Mohades. Terj. Reinhart P. A. Dozy. Amsterdam: Oriental Press.

al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 1991. The Concept of Education in Islam. Cetakan pertama 1980. Kuala Lumpur: ISTAC.

al-Attas, Syed Muhammad Naquib & Wan Mohd Nor Wan Daud. 2007. The ICLIF Leadership Competency Model (LCM): An Islamic Alternatif. Kuala Lumpur: ICLIF.

al-Baladhuri, Abu al-Hasan. 1959. Futuh al-Buldan. Kaherah: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra.
De Gayangos, P. 1843. The History of Muhammedan Dynasties in Spain. Terj. London: The Oriental Translation Fund.

Hitti, P. K. 1970. History of the Arabs. Cetakan ke-10. London: Macmillan.

Ibn Khaldun, Abd al-Rahman. 2004. Al-Muqaddimah. Beirut: Dar al-Fikr.

Ibn Taymiyyah, Ahmad b. Abd al-Salam. 1988. Al-Siyasah al-Shar‘iyyah fi

Islah al-Ra‘i wa al-Ra‘iyyah. Dlm. Abu Ya’la al-Quwaysani (pnyt.).

al-Siyasah al-Shar’iyyah Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

Khalif Muammar. 2007. Absolutisme dan Watak Pasrah Penghalang Pembangunan Semula Tamadun Islam. PEMIKIR 49.

Lane-Poole, Stanley. 1967. The Moors in Spain. Beirut: Khayyat.

Munawir Sjadzali. 1993. Islam dan Tata Negara. Jakarta: Universitas Indonesia Press.

Scott, S. P. 1904. History of the Moorish Empire. 3 vols. Philadelphia: The Lippincot Company.

Siddiq Fadzil. 2006. Kaum Ilmuwan dan Misi Pencerahan. Kajang: Akademi Kajian Ketamadunan.

Syed Omar Syed Agil. 1998. Umar b. al-Khattab: A Model for Leaders and Managers. Dlm. Syed Othman Alhabshi et al. (pnyt.). Islamic Management for Excellence. Kuala Lumpur: Inmind.

Thomson, Ahmad & Muhammad ‘Ata ur-Rahman. 2004. Islam di Andalusia: Sejarah Kebangkitan dan Keruntuhan. Terj. Indonesia. Jakarta: Gaya Media Pratama.

Wan Mohd Nor Wan Daud. 1997. Penjelasan Budaya Ilmu. Cet. Ke-3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Wan Mohd Nor Wan Daud. 1998. The Educational Philosophy and Practice of Syed Muhammad Naquib al-Attas: An Exposition of the Original Consept of Islamization. Kuala Lumpur: ISTAC.

Wan Mohd Nor Wan Daud. 2007. Iklim Kehidupan Intelektual di Andalusia: Satu Cerminan Islamisasi Dua-Dimensi. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

Zaimeche, S. 2004. Myths and Fallacies Sorrounding the Decline of Muslim Civilisation. http://www.islamicheritage.com [24 Disember 2008].

Dr. Khalif Muammar A. Harris
Felo Penyelidik
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA)
Universiti Kebangsaan Malaysia



No comments:

Post a Comment

KAFELDA mengalu-alukan pandangan, idea dan teguran yang membina untuk tatapan umum.