SELAMAT DATANG KE BLOG KAMI ANAK FELDA. DAPATKAN INFO TENTANG ISU-ISU FELDA DAN BERKONGSI PENDAPAT TENTANG APA JUA BERKAITAN DENGAN FELDA

Wednesday, November 25, 2009

FELDA Bina Janakuasa Biomass Pertama di Semenanjung

LAHAD DATU 24 Nov. - Felda Holdings Bhd. (Felda) kini dalam perancangan membina sebuah janakuasa elektrik berasaskan biomass yang dijangka siap pada Disember 2011.

Pengurus Besar Bahagian Biomass Felda Holdings, Ahmad Nor Azman Jamin berkata, janakuasa itu akan ditempatkan di Jengka, Pahang dan apabila disiapkan kelak, ia akan menjadi janakuasa biomass pertama di Semenanjung.

''Janakuasa biomass ini mampu menghasilkan tenaga sebanyak 10 MegaWatt(MW) berasaskan bahan mentah sejumlah 300,000 tan daripada tandan dan kelapa sawit kosong serta sisa industri sawit dari tujuh kilang sawit yang terdapat di Jengka.

''Felda akan menjual hasil elektrik kepada Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dengan jumlah 21 sen setiap kiloWatt sejam," katanya kepada pemberita yang membuat lawatan di janakuasa biomass di Felda Sahabat semalam.

Felda Holdings telah mengendalikan janakuasa biomass yang mempu menjana tenaga elektrik sebanyak 7 MW sejak 2004 menerusi 10 kilang pemprosesan sawit yang terdapat di Felda Sahabat.

Malah, janakuasa biomass itu telah mendapat pengiktirafan di bawah garis panduan Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) pada tahun 2006.

Namun, tenaga yang dihasilkan di janakuasa biomass Felda Sahabat tidak dapat dijual kepada pihak TNB dan hanya mampu digunakan untuk keperluan setempat di sekitar Felda Sahabat sahaja berikutan kekurangan mesin serta peralatan untuk menyalurkan tenaga berkenaan kepada pihak TNB.

Mengulas lanjut, Azman berkata, janakuasa biomass yang akan dibangunkan di Jengka akan diuruskan oleh FTJ Bio Power Sdn. Bhd. yang merupakan gabungan kerjasama Felda Holdings, TNB dan syarikat dari Jepun, JPower.

''Felda Holdings memegang kepentingan sebanyak 51 peratus manakala selebihnya iaitu 24.5 peratus dipunyai oleh setiap satu kedua-dua syarikat tersebut," ujarnya.

Selain itu, beliau mengakui penjualan kuasa elektrik kepada TNB tidak menyumbang pendapatan yang besar kepada syarikat namun ia disokong perdagangan kredit karbon.

''Bagaimanapun, apa yang penting kita dapat menyahut seruan kerajaan menukarkan 2.8 juta tan sisa industri kelapa sawit keluaran ladang Felda kepada tenaga boleh diperbaharui.

''Kami berharap projek itu mampu merealisasikan hasrat kerajaan seperti yang dinyatakan di dalam Program Pembangunan Janakuasa Kecil Tenaga Boleh Diperbaharui (SREP)," katanya.

Di bawah pelan pembangunan SREP, kerajaan mensasarkan untuk meningkatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui kepada 300MW atau lima peratus daripada keseluruhan tenaga di Malaysia bagi menggantikan tenaga sumber asli seperti minyak, gas dan arang batu.

Kini terdapat tiga janakuasa biomass di Sabah yang mana tenaga elektrik yang dihasilkan disambungkan ke Pencawang Utama Grid Nasional iaitu TSH Resources Sdn. Bhd. dan dua firma swasta, Kina dan Seguntor.

Lanjut di : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_02.htm

4 comments:

  1. Tahniah atas usaha dan pencapaian hebat tersebut.

    ReplyDelete
  2. Tahniah juga buat Cikgu yg berjaya melahirkan ramai anak bangsa yg berjaya! Tanpa guru siapalah kita...tq cikgu..

    ReplyDelete
  3. Tahniah kpd FELDA..ini adalah satu lagi lonjakan paradigma ke arah kemajuan teknologi di negara kita yg diterajui oleh FELDA..semoga selepas ini banyak lg pembaharuan dpt dihasilkan..

    ReplyDelete
  4. assalamualaikum,masih beroperasi ke biomass jengka nie.

    ReplyDelete

KAFELDA mengalu-alukan pandangan, idea dan teguran yang membina untuk tatapan umum.