SELAMAT DATANG KE BLOG KAMI ANAK FELDA. DAPATKAN INFO TENTANG ISU-ISU FELDA DAN BERKONGSI PENDAPAT TENTANG APA JUA BERKAITAN DENGAN FELDA

Thursday, December 24, 2009

KARNIVAL IKTIRAF 2009 : FELDA PERLU TRANSFORMASI KATA PM

DATUK Seri Najib Tun Razak tertarik melihat model Menara Felda setinggi 50 tingkat selepas merasmikan Program Karnival Iktiraf 2009 di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, semalam. Turut hadir Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor dan Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah (tiga dari kanan)


SHAH ALAM 20 Dis. – Generasi kedua dan ketiga Felda yang mencecah 1.5 juta orang perlu melakukan transformasi besar agar dapat menjadi warga paling berjaya dan berupaya menerjah ke peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mereka tidak boleh hanya bermegah menjadi juara kampung seperti era 1960-an dan 1970-an kerana sebagai masyarakat abad ke-21, kumpulan itu perlu turut menjadi juara di persada global.

‘‘Pada masa ini bilangan masyarakat di 317 rancangan Felda adalah seramai 113,000 orang dan mereka merupakan generasi pertama Felda yang hari ini boleh dikatakan mempunyai masa depan lebih terjamin.

‘‘Jadi generasi kedua dan ketiga boleh melangkah lebih jauh dan tinggi lagi jika mereka ini dapat kita bentuk daripada segi insaniah terutama sekali minda merangkumi nilai murni serta akhlak terpuji.

‘‘Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan bersama Felda akan melakukan transformasi besar di peringkat akar umbi, di peringkat fasa pertama dan seterusnya membawa Felda berjaya di persada antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Karnival Iktiraf 2009 di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini hari ini.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta pada tahun depan untuk projek khas khidmat masyarakat.

Peruntukan itu antara lain akan digunakan untuk membiayai program yang dapat memberi rangsangan kepada pelajar di semua rancangan Felda.

Menurut Najib, usaha kerajaan selama ini telah menjadikan Felda sebagai satu komuniti yang mempunyai kisah kejayaan yang boleh dibanggakan.

Ujar beliau, perancangan strategik dan penghijrahan yang sangat menakjubkan dalam kehidupan masyarakat Felda membolehkan mereka yang rata-rata miskin menjadi pemilik tanah sekurang-kurangnya empat hektar dilengkapi rumah yang mungkin tidak dimimpikan sebelum ini.

‘‘Semuanya ini adalah hasil perjuangan kita dan perjuangan yang dibawa oleh kerajaan hari ini tidak berakhir kerana transformasi besar ini juga akan meletakkan warga Felda sebagai antara yang paling berjaya dan menjadi masyarakat contoh di kawasan luar bandar.

‘‘Lebih membanggakan sehingga kini 85,000 anak peneroka Felda berjaya memasuki institusi pengajian tinggi dan pada 2005 seramai 161 orang berjaya memiliki Ijazah Doktor Falsafah,” katanya.

Selain merasmikan karnival tiga hari yang berakhir hari ini, Najib turut melancarkan Permuafakatan Siswa Felda (Persada), Kad Iktiraf dan menyampaikan Piala Iktiraf Rakan Muda Felda kepada wilayah Johor Bahru.

Turut disampaikan ialah 16 Anugerah Belia Felda Malaysia 2009 antaranya dua Anugerah Tokoh Generasi Baru Felda kepada Datuk Aziz Shamsuddin dari Wilayah Raja Alias, Negeri Sembilan dan Datuk Abdullah Abu Bakar (Mempaga, Pahang) serta Anugerah Persatuan Belia Cemerlang yang dimenangi oleh Persatuan Belia Felda Bukit Bading, Terengganu.

Tahniah buat penganjur Program IKTIRAF (Ikatan Hati Warga Felda) atas kejayaan program ini.

Sumber : Utusan Malaysia, 21.12.2009

No comments:

Post a Comment

KAFELDA mengalu-alukan pandangan, idea dan teguran yang membina untuk tatapan umum.