SELAMAT DATANG KE BLOG KAMI ANAK FELDA. DAPATKAN INFO TENTANG ISU-ISU FELDA DAN BERKONGSI PENDAPAT TENTANG APA JUA BERKAITAN DENGAN FELDA

Monday, March 12, 2012

Peneroka tidak patut biar diri diperalat pembangkang


Gabungan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan/Kampung (JKKR/JKKK) Wilayah Jengka membidas segelintir peneroka yang sanggup diperalatkan pembangkang sehingga tergamak menentang pengurusan Felda.
Timbalan Pengerusinya, Sulaiman Bakar berkata, perkara terbaru yang dimanipulasi pembangkang ialah berkenaan arahan pengurusan supaya peneroka menyerahkan salinan beberapa dokumen termasuk kad pengenalan, hak milik tanah dan buku akaun.
Katanya, hasutan pembangkang itu telah mendorong lapan peneroka Jengka membuat laporan polis di Temerloh meminta pihak berkuasa menyiasat motif arahan pengurusan Felda supaya peneroka menyerahkan salinan dokumen penting itu.
"Sedangkan majoriti peneroka di Jengka menyokong usaha Felda itu bagi mewujudkan pangkalan data dan penyediaan sistem fail peribadi peneroka terkini selari dengan sistem komputer berintegrasi (SKB).
"Peneroka Felda komited menerima secara positif arahan Felda itu tanpa bantahan, tetapi lapan peneroka Jengka yang dipercayai ahli sebuah parti pembangkang cuba menongkah arus," katanya.
Sulaiman yang juga Timbalan Pengerusi JKKR Felda Jengka 23 bercakap pada sidang akhbar bagi mempertahankan tindakan Felda yang meminta peneroka menyerahkan salinan dokumen penting untuk dimasukkan dalam SKB.
Menurut rekod, seramai lapan warga Felda sekitar Jengka membuat laporan polis Sabtu lalu berikutan tindakan pengurusan Felda yang menghantar surat pekeliling meminta peneroka menyerahkan salinan dokumen penting itu.
Pengerusi Gabungan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Wilayah Jengka, Azizah Ahmad turut kesal dengan tindakan pembangkang itu kerana sengaja memutarbelitkan fakta bagi tujuan politik.
Katanya, salinan buku akaun bank pula bertujuan segala pembayaran pendapatan peneroka disalurkan terus melalui bank perdagangan.
" Felda tidak akan sekali-kali menipu peneroka sebagaimana yang dibuktikan setelah lebih 50 tahun agensi ini sangat berjasa kepada peneroka," katanya.
Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia Wilayah Jengka, Nasarudin Mat Nasir pula menasihatkan generasi baru Felda agar bersama-sama pengurusan Felda dalam apa juga aktiviti yang dirancang.
Menurutnya, pada masa ini seramai 2,500 generasi baru Felda Wilayah Jengka telah menggantikan ayah dan ibu mereka di rancangan tertentu.
Tambah beliau, generasi baru Felda harus bersatu hati untuk memajukan Felda dan bersama-sama menyingkirkan pihak yang memecahbelahkan masyarakat di rancangan Felda.
Katanya, data yang diperoleh dapat membantu Felda membuat perancangan rapi semua program yang membabitkan generasi baru seperti projek perumahan warga Felda (PWF), latihan kemahiran, skim pinjaman pendidikan dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment

KAFELDA mengalu-alukan pandangan, idea dan teguran yang membina untuk tatapan umum.