SELAMAT DATANG KE BLOG KAMI ANAK FELDA. DAPATKAN INFO TENTANG ISU-ISU FELDA DAN BERKONGSI PENDAPAT TENTANG APA JUA BERKAITAN DENGAN FELDA

Wednesday, March 14, 2012

Projek-projek Mekanisme Pembangunan Bersih (CDM) oleh FELDA


Mekanisme Pembangunan Bersih (CDM) adalah satu perjanjian tajaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di bawah Protokol Kyoto di mana negara-negara perindustrian bersetuju membiayai projek-projek pengurangan pelepasan gas di negara-negara membangun bagi mengurangkan pelepasan global gas rumah hijau.


CDM diselia oleh satu lembaga eksekutif di bawah garis panduan Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).


Sehingga kini, Felda Holdings menerusi anak syarikatnya Felda Palm Industries Sdn Bhd, telah menjalankan tiga projek CDM dengan hasil cemerlang.


1. Loji Janakuasa Biomas


Pada September 2004, Felda Holdings telah menubuhkan loji janakuasa mesra alam berasaskan biomas yang pertama di negara ini bertempat di Kompleks Sahabat di Sabah, yang beroperasi sepenuhnya menggunakan Buah Tandan Kosong (BTK).


Loji ini, pada kadar elektrik 7.2 MW, menggunakan lebih kurang 250,000 tan BTK bagi menggerakkan loji kuasa pusat. Ini adalah separuh daripada BTK yang diperolehi daripada sepuluh kilang minyak kelapa sawit di kompleks ini.


Loji janakuasa ini adalah sebahagian daripada Program Pembangunan Janakuasa Kecil Tenaga Boleh Diperbaharui (Small Renewable Energy Programme) Kerajaan Malaysia. Tenaga ‘hijau' ini kemudiannya disalurkan kepada pengguna komersial dan domestik di sekitar Kompleks Sahabat. Sebagai tambahan, loji ini juga menghasilkan stim yang digunakan oleh kilang penapis minyak sawit kami yang berdekatan.


Pada 2006, loji ini disahkan sebagai projek Mekanisme Pembangunan Bersih.


2. Loji Baja


Pada Ogos 2005, FELDA telah memulakan operasi loji baja pertama kami di kilang minyak kelapa sawit Maokil berdekatan Labis. Loji ini menggunakan (BTK) dan sisa kumbahan minyak sawit untuk menghasilkan baja organik. Ia digunakan dalam ladang-ladang Felda Plantations Sdn Bhd lantas mengelakkan pelepasan gas metana dan gas bio yang terhasil daripada longgokan BTK atau rawatan sisa kumbahan minyak sawit. Loji ini mampu menghasilkan sehingga 18,000 tan baja setiap tahun.


Tiga lagi loji yang terletak di Sampadi (Sarawak), Trolak (Perak) dan Jengka (Pahang) akan memulakan operasi tidak lama lagi. Dua loji di Kalabakan (Sabah) dan Jerangau (Terengganu) sedang dalam perancangan.


3. Loji Gas Bio


Dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia, Institut Teknologi Kyoto (KIT) dan Pusat Tenaga Malaysia, FELDA telah menubuhkan loji gas bio pertama di Serting Hilir, Negeri Sembilan pada 2005. Loji ini membantu usaha penyelidikan dan pembangunan berkaitan penghasilan dan pemulihan gas bio. 


Sehingga kini, ia telah membawa kepada pembangunan satu projek komersial yang mengoptimakan penghasilan gas bio dan memerangkap gas metana bagi menjana sehingga 500 kW tenaga elektrik.


Tujuh lagi kilang sedang menjalani proses pemasangan kemudahan memerangkap gas bio yang serupa untuk program CDM ini, manakala 14 kilang lagi sedang dalam perancangan.


Kesemua inisiatif ini terbukti bermanfaat. Manfaat keseluruhannya yang besar membuktikan kesan positif amalan Tanggungjawab Sosial Korporat ke atas keuntungan, manusia dan alam sekitar.

No comments:

Post a Comment

KAFELDA mengalu-alukan pandangan, idea dan teguran yang membina untuk tatapan umum.