SELAMAT DATANG KE BLOG KAMI ANAK FELDA. DAPATKAN INFO TENTANG ISU-ISU FELDA DAN BERKONGSI PENDAPAT TENTANG APA JUA BERKAITAN DENGAN FELDA

Wednesday, March 14, 2012

NKEA sawit pacu ekonomi Malaysia



PENGENALAN Bidang Ekonomi Utama Negara Minyak Sawit atau lebih dikenali sebagai ‘NKEA sawit’ adalah strategi jangka panjang kerajaan untuk memancu ekonomi Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. 

NKEA adalah sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang menjadi agenda penting dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP). 



Secara keseluruhan GTP mensasarkan Malaysia sebuah negara maju dengan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita meningkat dari USD6,000.00 kepada USD12,000.00 pada kadar pertumbuhan Negara Kasar sebanyak 6 peratus setahun.
Indikator kepada negara maju dilihat kepada dasar yang diperkenalkan untuk merancakkan pembangunan ekonomi sesebuah negara. Penggubalan dasar baru melalui ETP sebagai wadah untuk merancakkan pembangunan ekonomi Malaysia melalui pengenalpastian bidang-bidang utama sektor ekonomi yang di percayai boleh menjadi pemangkin pencapaian sasaran negara maju. 

Sebagai penyumbang keempat terbesar kepada ekonomi Malaysia, Industri Minyak Sawit adalah komoditi keluaran tempatan telah dikenal pasti dan diyakini sebagai satu bidang ekonomi utama Negara (NKEA) yang perlu ditransformasikan merangkumi keseluruhan rantaian nilai dari aktiviti perladangan sehingga kepada produk siap. 

Makmal NKEA yang membabitkan pemikir dari penggubal dasar kerajaan dan pihak industri sawit mengenal pasti lapan projek permulaan (EPP) di mana lima (5) di peringkat huluan dan tiga (3) di peringkat hiliran. 

Penggubalan EPP diasaskan kepada penyelesaian halangan operasi yang membantut pencapaian potensi sebenar industri minyak sawit. Pelaksanaan EPP meletakkan sektor swasta sebagai penggerak utama di dalam memacu pembangunan industri sawit. Oleh itu EPP adalah satu pelan tindakan yang bersepadu antara kerajaan dan swasta bukan lagi satu perancangan. 
MPOB sebagai agensi yang bertanggungjawab membangunkan industri minyak sawit telah diberi tanggung jawab mengurus pelaksanaan tujuh EPP di bawah NKEA sawit yang digubal, manakala satu ETP adalah inisiatif pihak swasta. 

Pelaksanaan EPP ini tidak menjadi masalah kepada MPOB kerana penggubalan EPP adalah selari dengan Pelan Strategi MPOB yang fokus kepada pembangunan tiga perkara asas iaitu strategi meningkatkan produktiviti, strategi pembuangan sifar dan strategi pertambahan nilai melalui kemajuan penyelidikan yang bertaraf dunia dan perkhidmatan yang efisien. 

Dengan penggubalan EPP sasaran dan aspirasi sektor sawit lebih diperincikan dan memudahkan pencapaian Pelan Strategi MPOB. EPP mensasar peningkatan sumbangan industri sawit kepada PNK sebanyak RM125.3 bilion daripada RM52.7 bilion (2009) kepada RM178 bilion menjelang 2020. 

EPP yang berorientasikan penyelesaian masalah semasa mampu: 
  • Meningkatkan pendapatan pekebun kecil persendirian kelapa sawit sebanyak 47 peratus ; 
  • Meningkatkan produktiviti tenaga buruh tempatan dengan penggunaan mekanisasi ladang seterusnya mengurangkan 15-20 peratus penggantungan kepada buruh asing; dan 
  • Menguasai permintaan minyak sawit global yang semakin meningkat.
EPP telah disasar menjana RM47.1 bilion Pendapatan Negara kasar. Ini membabitkan pelaksanaan lapan (8) EPP di mana lima (5) di peringkat huluan yang akan menjana PNK RM33.1 bilion manakala tiga di peringkat hiliran yang menjana PNK RM14 bilion. 

Di peringkat huluan EPP digubal dengan matlamat peningkatan produktiviti dan kemampanan sektor huluan industri sawit seperti : 

  • EPP 1 - Mempercepatkan penanaman semula kelapa sawit 

  • EPP 2 - Mempertingkatkan hasil buah tandan sawit (BTS) 

  • EPP 3 - Mempertingkatkan produktiviti pekerja 

  • EPP 4 - Meningkatkan kadar perahan minyak sawit 

  • EPP 5 - Membangunkan bio-gas dikilang kelapa sawit.


Manakala di peringkat hiliran industri sawit, EPP digubal dengan bermatlamatkan perkembangan dan kemampanan sektor hiliran sawit seperti : 
  • EPP 6 - Membangunkan derivative oleo 

  • EPP 7 - Mengkomersialkan bio-bahan api generasi kedua 

  • EPP 8 - Mempercepatkan pertumbuhan sektor hiliran berasaskan makanan.
Di samping EPP, industri sawit dengan dokongan dan inisiatif swasta digalak di bawah ETP menerokai peluang perniagaan menjanjikan pulangan kepada PNK RM74.6 bilion. Ini membabitkan: 

1) Pengembangan aktiviti huluan sedia ada melalui pengembangan syarikat perladangan Malaysia di luar negara dan pertumbuhan organik dalam tahap hasil 

2) Pembangunan aktiviti hiliran sedia ada melalui pengembangan oleo asas dan kos operasi yang lebih rendah 

3) Pembangunan aktiviti bio-Diesel Nasional melalui pembangunan aktiviti bio-diesel Negara hasil dari penggubalan dasar bio-bahanapi Negara yang menetapkan kadar penggunaan bio-bahanapi pada kadar 5 peratus (B5) secara mandatori dalam penggunaan minyak diesel di pasaran. 

Secara keseluruhan Projek Transformasi Ekonomi Industri sawit mensasarkan peningkatan kepada PNK sebanyak RM125.3 bilion di mana lapan EPP akan menjana PNK sebanyak RM47.1 bilion, peluang perniagaan baru sebanyak RM74.6 bilion dan kesan penggandaan ekonomi (economic multiplier) sebanyak RM3.6 bilion. Di samping sasaran peningkatan dalam PNK, pelaksanaan projek permulaan akan mewujudkan sejumlah 122,400 peluang pekerjaan.  

No comments:

Post a Comment

KAFELDA mengalu-alukan pandangan, idea dan teguran yang membina untuk tatapan umum.