Seramai 112,635 peneroka Felda di seluruh negara bakal menerima durian runtuh RM15,000 untuk satu keluarga melalui tiga fasa, membabitkan peruntukan sebanyak RM1.69 bilion sempena penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, untuk bayaran fasa pertama, RM5,000 diberikan kepada setiap ketua keluarga peneroka dan akan dibuat serta-merta manakala fasa kedua dengan jumlah sama akan diserahkan kepada isteri peneroka sebaik fasa pertama selesai.
“Sejumlah RM5,000 lagi akan diagihkan kepada anak peneroka selepas selesai proses penyenaraian bulan depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sejahtera Peneroka yang dihadiri lebih 50,000 peneroka di Jengka 8.
Selain keluarga peneroka, kira-kira 20,000 pegawai dan kakitangan kumpulan Felda turut menerima berita gembira apabila Perdana Menteri mengumumkan pemberian bonus tambahan dua setengah bulan gaji kepada mereka.
“Saya juga suka untuk mengumumkan durian gugur iaitu tabung amanah khas yang membolehkan peneroka menerima dividen menerusi keuntungan FGVH selepas penyenaraian.
“Tawaran borang biru untuk pemilikan saham dan tambahan bantuan dana Yayasan Felda bagi membantu program baik pulih kampung lama dan tradisional sekitar Felda,” katanya Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Pengerusi Kumpulan Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.
Najib berkata, semua bayaran akan dibuat secara tunai dengan fasa pertama akan selesaikan dalam masa dua hingga tiga minggu.
“Felda akan agihkan sumbangan fasa pertama menerusi jenteranya dan wakil rakyat yang akan selesai kira-kira tiga minggu akan datang. “Fasa kedua, saya akan umumkan sebaik saja selesai bayaran fasa pertama dan diikuti fasa ketiga kemungkinan selepas penyenaraian FGVH. “Pendekatan bayaran dibuat seperti bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Bonus untuk kakitangan Kumpulan Felda juga akan dibuat secepat mungkin,” katanya.
Mengenai tabung amanah khas, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, peneroka akan menikmati faedah melalui pembayaran dividen berdasarkan keuntungan FGVH kerana tabung itu memegang 20 peratus ekuiti dalam FGVH.
“Jika FGVH untung RM1.5 bilion tahun depan maka peneroka bakal menerima dividen kira-kira RM1,300 setiap seorang...kalau untung lebih, peneroka akan dapat lebih lagi,” katanya.
Najib turut menjelaskan durian runtuh itu amat bermakna kepada peneroka yang banyak berkorban membuka dan memajukan kawasan hutan untuk dijadikan sebagai tanah rancangan dan penempatan berkelompok.
Dalam ucapannya, beliau turut menempelak mereka yang menentang penyenaraian FGVH termasuk segelintir peneroka serta pihak pembangkang yang cuba mencelarukan pemikiran rakyat.
“Saya tak rela mereka ini menerima (durian runtuh) ini kerana mereka ini mengkhianati apa yang kita buat, hanya peneroka yang jujur dan setia sahaja layak menerima,” katanya.
No comments:
Post a Comment
KAFELDA mengalu-alukan pandangan, idea dan teguran yang membina untuk tatapan umum.