SELAMAT DATANG KE BLOG KAMI ANAK FELDA. DAPATKAN INFO TENTANG ISU-ISU FELDA DAN BERKONGSI PENDAPAT TENTANG APA JUA BERKAITAN DENGAN FELDA

Wednesday, May 02, 2012

IPO FGVH tawar 2.19 bilion saham


FELDA Global Ventures Holdings (FGVH) akan menawarkan sehingga 2.19 bilion saham dalam Tawaran Awam Permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang dijangkakan pada akhir Mei atau awal Jun.
Mengikut draf prospektus IPO yang dikemukakannya kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC), daripada jumlah itu, sebanyak 1.92 bilion saham yang mewakili 52.5 peratus modal terbitan dan berbayarnya yang diperbesarkan akan ditawarkan untuk langganan pelabur institusi, manakala 273.61 juta saham atau 7.5 peratus lagi akan ditawarkan kepada pelabur awam.
Bagi tawaran kepada pelabur institusi itu, sebanyak 1.5 bilion saham akan diperuntukkan untuk langganan pelabur institusi dan pelabur terpilih Malaysia dan asing, manakala 419.54 juta saham diperuntukkan untuk institusi Bumiputera dan pelabur terpilih yang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). 

Daripada sejumlah 273.61 juta yang akan ditawarkan untuk langganan pelabur awam pula, 200.65 juta saham akan diperuntukkan untuk peneroka FELDA, kakitangan FELDA yang layak serta individu yang banyak menyumbang kepada pembangunan syarikat itu, manakala 72.96 juta saham lagi kepada orang awam Malaysia. 

Mengikut draf prospektus itu, selepas disenaraikan FGVH akan memiliki modal saham diperbesarkan sehingga 3.648 bilion. 

Harga tawaran bagi IPO itu masih belum ditetapkan, namun berdasarkan draf prospektus berkenaan, harga tawaran muktamad bagi peruntukkan pelabur awam akan ditentukan selepas harga langganan untuk pelabur institusi ditetapkan menerusi satu proses bidaan. 
Draf prospektus terbabit menegaskan, matlamat penyenaraian FGVH itu adalah sejajar dengan dasar kerajaan mengurangkan pegangannya dalam syarikat; untuk menjadikan FGVH sebagai konglomerat perniagaan tani bertaraf dunia serta meningkatkan reputasinya di peringkat antarabangsa. 

Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan nilai aset komersial FELDA, membolehkan ia mengakses pembiayaan secara lebih cekap daripada pasaran modal ekuiti dan mempunyai ruang lebih luas bagi pengembangan pada masa depan serta meraih peluang pertumbuhan. 

Pada masa sama, ia juga bagi membuka peluang kepada orang awam dan komuniti pelabur untuk turut meraih manfaat daripada potensi masa depan syarikat itu. 

Mengikut draf prospektus itu, berdasarkan kajian Frost & Sullivan, FGVH yang ketika ini mempunyai operasi di 10 negara adalah syarikat perladangan sawit ketiga terbesar dunia berdasarkan kawasan penanaman. 

Ia kini mengendalikan 343,521 hektar ladang sawit di Malaysia dengan keupayaan pengeluaran 5.2 juta tan buah sawit. 

FELDA Holdings Bhd yang mana FGVH menguasai 49 peratus sahamnya pula adalah pengeluar minyak sawit terbesar dunia dari segi pengeluaran iaitu dengan 3.3 juta tan pada tahun lalu. 

1 comment:

  1. saya memang berminat sangat sangat untuk menyertai kumpulan felda (peneroka) Jadi dgn adanya IPO FGVH saya ingin tahu sebagai seorang individu bagaimana untuk menyertainya dan perlukan sebarang bayaran dikenakan... saya adalah dari keluarga yang sederhana.... jadi saya ingin menjana pendapatan lebih utk menyara keluarga saya utk mencapai matlamat wawasan kerajaan. Saya menpunyai 3 org anak... suami cuma bekerja sebagai guard.... Jadi saya berharap sangat agar kerajaan membantu saya.....kesihanilah kami......amin..

    ReplyDelete

KAFELDA mengalu-alukan pandangan, idea dan teguran yang membina untuk tatapan umum.