SELAMAT DATANG KE BLOG KAMI ANAK FELDA. DAPATKAN INFO TENTANG ISU-ISU FELDA DAN BERKONGSI PENDAPAT TENTANG APA JUA BERKAITAN DENGAN FELDA

Saturday, June 30, 2012

Demo aman di Lui Timur



LUI TIMUR - Berulang kali merayu meminta disediakan lampu jalan serta menyelesaikan isu perparitan di kawasan mereka, namun permintaan mereka belum nampak ada tanda diambil perhatian.


Itu yang dialami penduduk Felda Lui Timur, di sini, yang sebahagian besarnya adalah peneroka Felda yang sudah 33 tahun melalui simpang gelap sehingga menjejaskan keselamatan mereka.



Agak menghairankan kerana hanya simpang masuk ke Felda Lui Timur saja yang masih tidak dilengkapi lampu jalan, sedangkan kawasan lain berjiranan dengan mereka sudah terang berderang di waktu malam.



Berikutan sikap acuh tak acuh terhadap permintaan mereka itu, semalam lebih 60 peneroka Felda Lui Timur mengadakan demonstrasi aman menggesa kerajaan mendengar
masalah mereka.



Permintaan mereka tidak banyak, hanya mahukan lampu jalan di simpang masuk ke Felda Lui Timur dilengkapi dengan lampu jalan, selain menyelesaikan segera masalah sistem
perparitan tidak sempurna di kawasan mereka.



Peneroka, Muharam Md Sharif, 59, berkata, dia hairan kerana hanya simpang ke kawasan berkenaan sahaja belum dipasang lampu jalan, tidak seperti kawasan lain berdekatan.



“Jika dilihat sepanjang jalan dari pekan Bahau sehingga Felda Sungai Lui, hanya Felda Lui Timur sahaja yang tiada lampu jalan.



"Keadaan ini boleh mengundang bahaya kepada penduduk terutama pengguna jalan raya yang melalui jalan ini, lebih-lebih lagi penunggang motosikal,” katanya kepada Sinar Harian ketika demonstrasi aman berkenaan, semalam.



Seorang lagi peneroka, Husssin Jalani, 68, berkata, penduduk di situ sudah mengemukakan aduan kepada pihak berkaitan sebelum ini, namun belum nampak ada sebarang
tindakan.



“Untuk tahun ini sahaja, sudah beberapa kali kita suarakan aduan mengenai lampu jalan dan sistem perparitan, namun masih belum mendapat jawapan,” katanya yang agak kecewa.



Berikutan itu, katanya, tindakan penduduk mengadakan demonstrasi aman itu untuk memastikan kerajaan menerusi pihak berkaitan 'buka mata' dengan mengambil langkah segera.




Sedang dalam pelaksanaan: Adun 


Sementa ra itu, ketika mengulas mengenai demonstrasi semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lui, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, berlaku salah faham berkaitan masalah itu sehingga mengundang penduduk melakukan demonstrasi aman.



Beliau berkata, kerajaan kini sebenarnya sedang berusaha untuk memasang lampu jalan di kawasan terbabit, bagaimanapun mengambil masa sedikit untuk dilaksanakan.



“Kita perlu ambil sumber elektrik daripada Felda Sungai Lui atau kawasan berhampiran yang menelan kos kira-kira RM 350,000 untuk tujuan pemasangan lampu itu.



“Manakala, isu sistem perparitan pula, memang setiap tahun peruntukan dikeluarkan iaitu lebih kurang RM 70,000 hingga RM 100,000," katanya, semalam.



Zainal Abidin berkata, peruntukan disediakan sebenarnya belum mencukupi untuk dibuat kerja naik taraf, sekali gus berikutan panjang jalan seluruh kawasan Felda Lui Timur adalah kira-kira 20 kilometer.



"Untuk meletakkan longkang di sepanjang jalan berkenaan kira kira 40 kilometer kiri dan kanan jalan.



Dengan peruntukan yang ada, memang tidak cukup untuk baiki semua.



"Bagaimanapun, kita buat secara berperingkat untuk pastikan keselesaan penduduk sekitar," katanya.

No comments:

Post a Comment

KAFELDA mengalu-alukan pandangan, idea dan teguran yang membina untuk tatapan umum.