SELAMAT DATANG KE BLOG KAMI ANAK FELDA. DAPATKAN INFO TENTANG ISU-ISU FELDA DAN BERKONGSI PENDAPAT TENTANG APA JUA BERKAITAN DENGAN FELDA

Saturday, February 23, 2013

Polis P.Pinang Selamat Seorang Lagi Bayi, Tahan Dua Wanita


Oleh: Biswardi
Sumber: Bernama

Bukit Mertajam, 23 Feb - Polis Pulau Pinang menyerbu sebuah rumah di USJ, Subang Jaya, Selangor semalam dan menyelamatkan seorang lagi bayi lelaki berusia dua bulan yang menjadi mangsa sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak. 

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata dalam Ops Pintas Sayang II itu, pihaknya turut menahan seorang wanita berusia 32 tahun yang dipercayai merupakan pembeli bayi berkenaan. 




"Hasil maklumat awam dan risikan yang kita jalankan, sepasukan pegawai dan anggota kita telah memeriksa rumah berkenaan pada pukul 1 petang semalam dan berjaya menyelamatkan seorang lagi bayi serta menahan seorang wanita," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Beliau berkata susulan penahanan wanita itu, polis menahan seorang lagi wanita di Cheras, Selangor pada hari yang sama, bagi membantu siasatan berhubung sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak. 


"Sehingga semalam, kita berjaya menyelamatkan 22 orang bayi dan kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa sindiket terbabit dan menahan 45 orang dalam Ops Pintas Sayang II," katanya.

Semalam 21 bayi dan kanak-kanak dilapor diselamat di Selangor, Johor, Perak, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan dan juga Pulau Pinang. 


Seramai 43 orang termasuk seorang wanita berusia lingkungan 50-an yang juga dalang sindiket berkenaan turut ditahan. 

Pada 24 Jan lepas, polis Pulau Pinang berjaya membongkar sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang bergerak aktif di negeri ini, Kedah dan Perak apabila menahan 33 individu dan menyelamatkan lapan bayi serta seorang kanak-kanak.

Sindiket yang aktif sejak tahun 2009 itu juga didapati menawarkan wang tunai antara RM2,500 dan RM4,500 kepada wanita asing yang melahirkan anak luar nikah serta mereka yang kesempitan wang dan mahu menjual anak. 


Siasatan awal polis mendapati bayi dan kanak-kanak itu dijual antara RM18,000 dan RM30,000 berdasarkan fizikal, rupa paras dan jantina, lengkap dengan penyediaan pakej dokumen pendaftaran serta perubatan bayi dan kanak-kanak tersebut.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata pihaknya telah mendapat kebenaran daripada Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk mereman 45 individu tersebut selama empat hari hingga Selasa ini. 


Mereka berusia antara 27 hingga 57 tahun yang terdiri daripada golongan pekerja biasa dan profesional termasuk jurutera dan pensyarah.

"Mereka ditahan bagi membantu siasatan menurut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 20 tahun serta denda," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

KAFELDA mengalu-alukan pandangan, idea dan teguran yang membina untuk tatapan umum.