SELAMAT DATANG KE BLOG KAMI ANAK FELDA. DAPATKAN INFO TENTANG ISU-ISU FELDA DAN BERKONGSI PENDAPAT TENTANG APA JUA BERKAITAN DENGAN FELDA

Thursday, June 18, 2009

PENCARIAN : DI MANA RIDHUAN MAT SALLEH?

FELDA CHERUL SATU, KEMAMAN – Misteri kehilangan pemuda lembam, Ridhuan Mat Salleh, 30, terus menjadi tanda tanya kerana sehingga hari ini, dia masih belum dijumpai sejak menghilangkan diri empat bulan lalu.

Sinar Harian pernah menyiarkan kisah kehilangan Ridhuan pada awal Mac lalu namun setelah tiga bulan berlalu, tiada petunjuk yang dapat menjejaki Ridhuan.

Kedua ibu bapanya kini berada dalam keadaan resah dan bimbang kerana mereka tidak dapat memastikan sama ada Ridhuan masih hidup atau sebaliknya.

Terdapat andaian mengatakan pemuda ini disorok makhluk halus dan tidak dapat dilihat menerusi alam nyata.

Sinar Harian juga pernah menerima panggilan telefon daripada seseorang tidak dikenali yang memberitahu terserempak dengan pemuda ini di Bandar Kuantan.

Sementara itu, bapa Ridhuan, Mat Salleh Abas, 59, berkata, ini kali pertama Ridhuan menghilangkan diri dalam tempoh yang agak lama.

“Biasanya dia akan balik setelah keluar merayau-rayau. Dia suka berjalan termasuk merayau-rayau dalam hutan di sini.

“Kadangkala jiran menjumpainya dan akan membawanya pulang,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kali ter-akhir anaknya dilihat adalah pada penghujung Februari lalu dan ketika itu dia baru sahaja bangun tidur.

“Ketika itu jam 5 pagi, saya terdengar seseorang membuka pintu dapur.

“Saya bangun dan melihat pintu dapur terbuka, dan apabila menjenguk bilik Ridhuan, dia sudah tiada di biliknya,” kata Mat Salleh.

Menurutnya, pada mulanya dia tidak mensyaki apa-apa kerana dia yakin Ridhuan akan kembali namun perasaannya bertukar bimbang setelah beberapa hari anaknya tidak pulang.

“Saya sudah membuat laporan polis pada hari keempat kehilangannya di Balai Polis Cheneh Bharu.

“Bagaimanapun, saya tidak dapat memastikan baju yang dipakainya sebelum hilang. Kami sekeluarga bimbang memikirkan keselamatannya kerana dia lembam,” katanya lagi.

Mat Salleh mengharapkan doa daripada orang ramai agar bersama memohon bantuan daripada Tuhan demi memastikan anaknya selamat kembali ke rumah.

“Saya berharap orang ramai yang mengenali dan menjumpai Ridhuan, hubungi saya menerusi talian 019- 952 1621 atau serahkan dia di balai polis berhampiran.

“Ibunya, Ramlah Yaakob amat risaukan keselamatan diri dan urusan makan minumnya,” kata Mat Salleh.

Lanjut di sini :

1 comment:

  1. Tahniah atas perlancaran blog ini. Saya juga anak peneroka Felda (Jengka Pahang). Sama-samalah kita memperjuangkan generasi Felda untuk mencapai kecemerlangan.

    Saya link blog ini ke blog saya.

    ReplyDelete

KAFELDA mengalu-alukan pandangan, idea dan teguran yang membina untuk tatapan umum.